Peranan
Ibu Bapa memastikan Kecemerlangan Anak-anak
Anak
ibarat kain putih , ibu bapalah yang insan yang bertanggungjawab
mencorakkannya. Jika merah, merahlah ia, jika biru, birulah ia. Corak yang
dihasilkan itu bakal menentukan siapakah anak-anak pada masa hadapan, Ibu bapa
sentiasa mengharapkan dan mendambakan anak-anak mereka menjadi insan yang
berguna serta berbakti terhadap orang tua. Demi mencapai keinginan tersebut ibu
bapa sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan hasrat hati mereka itu
terlaksana dengan jayanya. Mereka tega menghabiskan masa dan tenaga bahkan wang
ringgit demi melihat anak-anak mereka berjaya. Kebanyakan ibu bapa menyayangi
anak mereka dengan setelusnya, umpama menatang minyak yang penuh. Namun, dengan
mencurhkan kasih sayang semata-amata tidak mungkin akan dapat menjadikan
anak-anak seorang insan yang berbakti, justeru usaha-usaha lain harus ditimbal
balik dan diambil kira.
Memetik
kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar “seribu mancis
tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti
dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah
awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu
dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Rasulullah
S.A.W bersabda yang bermaksud; “ suruh dan perintahlah anak-anakmu mendirikan
solat sedari umurnya tujuh tahun”. Solat merupakan perkara terpenting yang
perlu dipantau oleh ibu bapa. Solat dapat mendidik anak-anak untuk sentiasa
melakukan perkara baik dan menjauhi perkara mungkar. Apabila anak-anak telah
diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati oarng tua dan berbudi
pekerti luhur, sudah pasti segala apa yang diangan-angankan oleh ibu bapa akan
menjadi realiti. Insan yang berguna ialah insan yang tahu nilai diri dan
estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, segala
apa yang dirancang pasti menjadi nyata.
Seterusnya
usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan melihat
anak-anak mereka berjaya itu tercapai adalah dengan bermain “tarik tali’ dengan
anak-anak. Dalam usaha mendidik anak-anak ibu bapa perlu mengamalkan toleransi,
perasaan kasih sayang dan bertegas dalam bicara perlu menjadi tunjang utama.
Ibu bapa tidak perlu memanjakan anak-anak sehingga mereka merasakan bahawa diri
seperti anak emas dalam keluarga, ibu bapa boleh menuruti rengekkan dan
permintaan anak-anak. Namun, mereka harus berpada-pada, Sedikit penegasan perlu
diberikan. Hal ini bertujuan mengelakkan anak-anak menjadi manja dan besar
kepala. Menghukum apabila anak-anak melakukan kesalahan tidak bererti ibu bapa
membanci, tetapi hal ini merupakan tanda ibu bapa menyayangianak-anak. Apabila
perasaan kasih sayang dan bertegas sudah menjadi sama rata, maka tidak akan
wujud sebarang kekangan. Anak-anak akan sentiasa mengawal tingkah laku dan
peradaban mereka. Malah, mereka pasti akan melakukan yang terbaik demi
membahagiakan diri sendiri dan ibu bapa yang tercinta. “Di mana ada kemahuan di
situ ada jalan. Perpeganglah kepada peribahasa tersebut, nescaya kesudahan yang
baik akan menjadi milik kita.
“Lampu
Alladdin tidak akan bersinar dengan sendiri tetapi Alladdin akan mengosoknya
terlebih dahulu”. Begitulah kata-kata azimat yang ditinta oleh Alex Osborn.
Hasrat ibu bapa untuk menyaksikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna
tidak akan berhasil jika ibu bapa sahaja yang bertungkus lumus menggembleng
tenaga. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memberi sedikit penekanan terhadap
kepentingn pendidikan dalan sanubari anak-anak. Ibu bapa perlu mengasuh
anak-anak untuk memahami dan mendalami ilmu. Anak-anak pula perlulah berusaha
untuk mencapai keinginan tersebut. Anak-anak umpama jentera yang memerlukan
minyak pelincir bagi menlancarkan pergerakannya. Apabila minyak pelincir sudah dituang,
maka akan lencarlah pergerakannya. Sehubungan dengan itu, kedua-dua belah pihak
perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masnig bagi memastikan kelangsungan
perjalanan hidup mereka.
Tun
Dr Mahathir pernah berkata, “banyak masalah di dunia ini berpunca daripada
sikap manusia yang tidak pernah berusaha memahami antara satu sama lain dan
berbincang untuk melepaskan diri daripada sebarang musibah”. Oleh yang demikian
langkah drastik yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak
mereka menjadi insan yang berguna ialah dengan menyelami hati dan keinginan
anak-anak. “Umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak
berselerak”, ibu bapa perlu sebaik-baiknya mengetahui rasa hati anak-anak. Cara
sebegini akan dapat menghindari anak-anak daripada berasa tertekan. Tertekan
dalam konteks ini bermaksud bahawa anak-anak akan berasa dalam dilema sama ada
menurut kemahuan diri dan menghancurkan harapan ibu bapa atau menurut kemahuan
ibu bapa dan merobek hati sendiri. Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak-anak
berusaha untuk mencapai mimpi mereka tanpa memikirkan kemampuan sebenar
anak-anak. Anak-anak akan memberontak akibat desakan yang bertubi-tubi daripada
ibu bapa. Nah, apabila situasi ini berlaku, lain yang diharap lain yang menjadi,
bak kata pepatah, yang dikejar tidak dapat yang diikendong berciciran. Oleh
itu, ibu bapa perlu memikirkan sedalam-dalamnya atas segala tindakan yang akan
diambil. Setiap insan memiliki paradigma dan pandangan yang berbeza dalam
menentukan hala tuju hidup mereka. Dato Dr Fadzillah Kamsah, ada menyebut “usah
direnung ke langit hingga terlupakan bumi, sedangkan langit tidak mungkin
digapai, sedangkan bumi sedia di tapak kaki”.
Selanjutnya
ibu bapa haruslah memberikan sedikit ruang kepada anak-anak untuk melakukan apa
yang mereka hajati, asalkan tidak menyipang dan tersasar jauh ke lembah
kehancuran. Dalam memastkan anak-anak berhsil menjadi insan yang berguna, ibu
bapa tidak boleh terlalu mengongkong anak-anak. Tiada paksaan dalam menuntut
ilmu. Jika anak-anak tidak mampu meneruskannya, ibu bapa tidak boleh terus
memaksa. Sebaliknya dorongan dan kata-kata semangat perlu diberi untuk
menaikkan semula semangat membara anak-anak. Ahli Falsafah Pascal mengungkapkan
“kalau kita berusaha mencapai keinginan, mulakan dengan kata-kata yang lembut
kerana kata-kata yang lembut umpama air yang menyirami tanah yang tandus”.
Desakan dan paksaan akan menjatuhkan anak-anak. Sebaliknya dorongan dan nasihat
akan mendorong anak-anak untuk berjaya kerana “anak umpama bunga-bunga yang
tumbuh di taman, yang menjadi tanah dan baja ialah ibu bapa”. Justeru mulakan
dengan kelembutan dalam memastikan kejayaan menjadi hak hakiki dan azali
anak-anak.
Intihanya,
sudah terang lagi bersuluh, usaha untuk memastikan anak-anak mereka supaya menjadi
insan berguna bukanlah mudah. Professor Beetcher pernah berkata, “anak-anak
ibarat simen basah, sesiapa yang jatuh ke atasnya pasti memberi kesan”.
Justeru, ibu bapa perlu berhati-hati mengambil sebarang tindakan dalam usaha
melahirkan model insan yang cemerlang. Usaha yang sewajarnya perlu diambil dan
segala emosi yang membungkam jauh dalam sanubari perlu ditolak ke tepi.
Kepentingan setiap individu perlu diambil kira dan dipertimbangkan. Akhir
kalam, pendayong sudah di tangan, perahu sudah di air, segala tindakan wajar
sudah terpampang hanya yang tinggal adalah usaha untuk melaksanakannya. Jauhkan
emosi untuk meningkatkan prestasi.
(991
patah perkataan)
PERANAN
ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
Pada
era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat
menjadi bicara semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun
berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan
keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran.
Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat
tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi
kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam
memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin
berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan
untuk membantu menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu,
sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam merangka uslub terbaik
untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan
berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih dan oleh itu prakarsa
ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung
sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah menggerakkan kembali jentera yang
lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa dan sekali gus membentuk keluarga
yang bahagia.
Sebenarnya,
banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu
bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan
kepada mereka. Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan
Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira.
Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa
pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang
yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan
dalam diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan
anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak
hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah
dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga
kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan
kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk
mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat
direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke
tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan
dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk
membahagiakan ibu bapa.
Sedasawarsa
ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan
salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka.
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap
kali ditujukan khas kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua
orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga, jantung
hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini
dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang
utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun
anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur
buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi
insan yang berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji
kejahatan yang berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat
anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu,
anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun
di mana-mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah
laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa
mereka.
Sementelahan
pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka.
Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang
termaktub dalam Falsafah Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform
utama untuk anak-anak membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini,
aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati orang
tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh
terdekat yang sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah
bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka
hendaklah menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua.
Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka
dan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam
menghayati peribahasa yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah
terhantuk baru nak tengadah, anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur
bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu
bapa mereka. Dalam memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah
mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh
keberkatan ketika mereka belajar. Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu
yang dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri,
keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat
seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka.
Yang
berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering
berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia.
Jadi, dalam mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap
ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara
ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan
hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini,
konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak
dengan saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti
melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari
diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan
persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan
menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian
keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan
sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang
menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap
hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu
meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan
untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.
Selain
itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah
mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat
menyaksikan bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu
bapa dan anak-anak menghiasi muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes
pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa
mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010
di akhbar Harian Metro bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang
sudah tua’. Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa
dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan
peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang
mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama
ketika umur senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa
mereka umpama mencurah air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih
untuk kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa jika
seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi
kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.
Tambahan
lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh
dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat
dari dua perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan
ibu bapa ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka
setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak
hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi
merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan
sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak
mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan
seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak
hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki
untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu
bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi
merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang apabila
berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya, memang
tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yag penting dan utama untuk
membahagiakan ibu bapa.
Secara
kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh
anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu
berusaha membahagiakan ibu bapa mereka secara istiqamah bukan sekadar
hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi tangga. Hal
ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur falah anak-anak dalam
meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak
akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama
berganding bahu, selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan
tranformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan.
Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam institusi
kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai
visi kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa
mereka sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan
bangsa.
[1
414 patah kata]
Nukilan
daripada Mohamad Syamir bin Shamsher Ahmad - SMK Impian Emas
Soalan
SPM 2010
Soalan
2
Seorang
ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu
dapat menjaga seorang ibu.
Situasi
seperti di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat.
Jelaskan
tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.
by:http://zaizak69.blogspot.com/2011/03/contoh-karangan-spm-2010.html
没有评论:
发表评论