2014年6月4日星期三

Peranan Ibu Bapa

Peranan Ibu Bapa memastikan Kecemerlangan Anak-anak
Anak ibarat kain putih , ibu bapalah yang insan yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jika merah, merahlah ia, jika biru, birulah ia. Corak yang dihasilkan itu bakal menentukan siapakah anak-anak pada masa hadapan, Ibu bapa sentiasa mengharapkan dan mendambakan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna serta berbakti terhadap orang tua. Demi mencapai keinginan tersebut ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan hasrat hati mereka itu terlaksana dengan jayanya. Mereka tega menghabiskan masa dan tenaga bahkan wang ringgit demi melihat anak-anak mereka berjaya. Kebanyakan ibu bapa menyayangi anak mereka dengan setelusnya, umpama menatang minyak yang penuh. Namun, dengan mencurhkan kasih sayang semata-amata tidak mungkin akan dapat menjadikan anak-anak seorang insan yang berbakti, justeru usaha-usaha lain harus ditimbal balik dan diambil kira.
Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar “seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud; “ suruh dan perintahlah anak-anakmu mendirikan solat sedari umurnya tujuh tahun”. Solat merupakan perkara terpenting yang perlu dipantau oleh ibu bapa. Solat dapat mendidik anak-anak untuk sentiasa melakukan perkara baik dan menjauhi perkara mungkar. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati oarng tua dan berbudi pekerti luhur, sudah pasti segala apa yang diangan-angankan oleh ibu bapa akan menjadi realiti. Insan yang berguna ialah insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, segala apa yang dirancang pasti menjadi nyata.
Seterusnya usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan melihat anak-anak mereka berjaya itu tercapai adalah dengan bermain “tarik tali’ dengan anak-anak. Dalam usaha mendidik anak-anak ibu bapa perlu mengamalkan toleransi, perasaan kasih sayang dan bertegas dalam bicara perlu menjadi tunjang utama. Ibu bapa tidak perlu memanjakan anak-anak sehingga mereka merasakan bahawa diri seperti anak emas dalam keluarga, ibu bapa boleh menuruti rengekkan dan permintaan anak-anak. Namun, mereka harus berpada-pada, Sedikit penegasan perlu diberikan. Hal ini bertujuan mengelakkan anak-anak menjadi manja dan besar kepala. Menghukum apabila anak-anak melakukan kesalahan tidak bererti ibu bapa membanci, tetapi hal ini merupakan tanda ibu bapa menyayangianak-anak. Apabila perasaan kasih sayang dan bertegas sudah menjadi sama rata, maka tidak akan wujud sebarang kekangan. Anak-anak akan sentiasa mengawal tingkah laku dan peradaban mereka. Malah, mereka pasti akan melakukan yang terbaik demi membahagiakan diri sendiri dan ibu bapa yang tercinta. “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Perpeganglah kepada peribahasa tersebut, nescaya kesudahan yang baik akan menjadi milik kita.
“Lampu Alladdin tidak akan bersinar dengan sendiri tetapi Alladdin akan mengosoknya terlebih dahulu”. Begitulah kata-kata azimat yang ditinta oleh Alex Osborn. Hasrat ibu bapa untuk menyaksikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna tidak akan berhasil jika ibu bapa sahaja yang bertungkus lumus menggembleng tenaga. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memberi sedikit penekanan terhadap kepentingn pendidikan dalan sanubari anak-anak. Ibu bapa perlu mengasuh anak-anak untuk memahami dan mendalami ilmu. Anak-anak pula perlulah berusaha untuk mencapai keinginan tersebut. Anak-anak umpama jentera yang memerlukan minyak pelincir bagi menlancarkan pergerakannya. Apabila minyak pelincir sudah dituang, maka akan lencarlah pergerakannya. Sehubungan dengan itu, kedua-dua belah pihak perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masnig bagi memastikan kelangsungan perjalanan hidup mereka.
Tun Dr Mahathir pernah berkata, “banyak masalah di dunia ini berpunca daripada sikap manusia yang tidak pernah berusaha memahami antara satu sama lain dan berbincang untuk melepaskan diri daripada sebarang musibah”. Oleh yang demikian langkah drastik yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah dengan menyelami hati dan keinginan anak-anak. “Umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak”, ibu bapa perlu sebaik-baiknya mengetahui rasa hati anak-anak. Cara sebegini akan dapat menghindari anak-anak daripada berasa tertekan. Tertekan dalam konteks ini bermaksud bahawa anak-anak akan berasa dalam dilema sama ada menurut kemahuan diri dan menghancurkan harapan ibu bapa atau menurut kemahuan ibu bapa dan merobek hati sendiri. Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak-anak berusaha untuk mencapai mimpi mereka tanpa memikirkan kemampuan sebenar anak-anak. Anak-anak akan memberontak akibat desakan yang bertubi-tubi daripada ibu bapa. Nah, apabila situasi ini berlaku, lain yang diharap lain yang menjadi, bak kata pepatah, yang dikejar tidak dapat yang diikendong berciciran. Oleh itu, ibu bapa perlu memikirkan sedalam-dalamnya atas segala tindakan yang akan diambil. Setiap insan memiliki paradigma dan pandangan yang berbeza dalam menentukan hala tuju hidup mereka. Dato Dr Fadzillah Kamsah, ada menyebut “usah direnung ke langit hingga terlupakan bumi, sedangkan langit tidak mungkin digapai, sedangkan bumi sedia di tapak kaki”.
Selanjutnya ibu bapa haruslah memberikan sedikit ruang kepada anak-anak untuk melakukan apa yang mereka hajati, asalkan tidak menyipang dan tersasar jauh ke lembah kehancuran. Dalam memastkan anak-anak berhsil menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak boleh terlalu mengongkong anak-anak. Tiada paksaan dalam menuntut ilmu. Jika anak-anak tidak mampu meneruskannya, ibu bapa tidak boleh terus memaksa. Sebaliknya dorongan dan kata-kata semangat perlu diberi untuk menaikkan semula semangat membara anak-anak. Ahli Falsafah Pascal mengungkapkan “kalau kita berusaha mencapai keinginan, mulakan dengan kata-kata yang lembut kerana kata-kata yang lembut umpama air yang menyirami tanah yang tandus”. Desakan dan paksaan akan menjatuhkan anak-anak. Sebaliknya dorongan dan nasihat akan mendorong anak-anak untuk berjaya kerana “anak umpama bunga-bunga yang tumbuh di taman, yang menjadi tanah dan baja ialah ibu bapa”. Justeru mulakan dengan kelembutan dalam memastikan kejayaan menjadi hak hakiki dan azali anak-anak.
Intihanya, sudah terang lagi bersuluh, usaha untuk memastikan anak-anak mereka supaya menjadi insan berguna bukanlah mudah. Professor Beetcher pernah berkata, “anak-anak ibarat simen basah, sesiapa yang jatuh ke atasnya pasti memberi kesan”. Justeru, ibu bapa perlu berhati-hati mengambil sebarang tindakan dalam usaha melahirkan model insan yang cemerlang. Usaha yang sewajarnya perlu diambil dan segala emosi yang membungkam jauh dalam sanubari perlu ditolak ke tepi. Kepentingan setiap individu perlu diambil kira dan dipertimbangkan. Akhir kalam, pendayong sudah di tangan, perahu sudah di air, segala tindakan wajar sudah terpampang hanya yang tinggal adalah usaha untuk melaksanakannya. Jauhkan emosi untuk meningkatkan prestasi.
(991 patah perkataan)

PERANAN ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi bicara semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih dan oleh itu prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.
Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka. Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.
Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga, jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan yang berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka.
Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka. Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika mereka belajar. Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka.
Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.
Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah tua’. Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.
Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yag penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa.
Secara kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah  menjadi kayu ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu, selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.
[1 414 patah kata]
Nukilan daripada Mohamad Syamir bin Shamsher Ahmad - SMK Impian Emas
Soalan SPM 2010
Soalan 2
Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.
Situasi seperti di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat.
Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.
by:http://zaizak69.blogspot.com/2011/03/contoh-karangan-spm-2010.html

没有评论:

发表评论